Lanjutan dari pertemuan saya dengan Pengetua SRC maka pihak kami dari Open University Malaysia di mana saya selaku Pengarahnya di Perak telah bersetuju menghulurkan bantuan yang diperlukan.
Syahadan maka keputusan telah pihak kami buat untuk menyerahkan 2 unit komputer, 1 unit projektor LCD dan skrin pada 16 Mei 2012 jam 2.30ptg di Dewan SRC sebagai hadiah Hari Guru kepada sekolah kesayangan kita. 40 buah kerusi dan meja akan dihantar dalam masa terdekat bagi menyempurnakan permintaan SRC kepada pihak kami.
Majlis yang disertai oleh seramai 100 orang pelajar dan guru SRC bermula tepat jam 2.15ptg dengan ucapan Pengetua SRC Pn Hjh Saadiah. Selepas itu saya telah dipelawa untuk memberi ucapan ringkas. Dalam ucapan saya, saya mengambil kesempatan untuk mengucap Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru SRC yang hadir.
Saya juga sempat menghadiahkan dua rangkap pantun pada para guru SRC seperti berikut:
Buung serindit burung merpati
Yang satu cantik dan yang satu lagi ku minat
Warga pendidik tetap diingati
Mendidik kita hingga kering keringat
Buah cempedak dibawa belayar
Masak sebiji harum sekapal
Guru mana yang tak sayangkan pelajar
Bersusah payah langsung tak jadi hal
Saya menasihatkan guru-guru SRC supaya jangan berputus asa untuk memberi tunjukajar pada adik-adik kita yang masih mentah sebabnya antara mereka ini akan muncul pemimpin negara dan orang yang bakal berjasa kepada bangsa dan negara.
Pada adik-adik SRC ini juga saya nasihatkan supaya sentisa tekun belajar dan mendengar segala nasihat dan tunjukajar yang diberikan oleh guru-guru kita kerana kejayaan kita banyak bergantung kepada diri kita sendiri dengan bimbingan guru-guru kita.
Persembahan dari pelajar SRC menyusul selepas itu dengan persembahan dari pelajar yang muncul johan dalam kategori pembentukan formasi Jepun di Perak. Selepas pula diikuti persembahan oleh pasukan kompang yang telah muncul juara dan mewakili Negeri Perak.
Sebelum majlis bersurai pada kira-kira jam 3.30ptg, telah diadakan penyerahan peralatan dari pihak OUM kepada Pengetua SRC. Semoga iainya dapat membantu sedikit sebanyak menaikkan semangat pelajar dan guru SRC.
Tepat dengan slogannya: "Kita datang dengan harapan dan Pulang dengan Kejayaan". serta Tajuk Lagu Sekolah: :"Usaha Tekun Maju dan Jaya", maka jasa guru SRC kepada kita tiada tolok bandingnya. Tanpa SRC siapalah kita pada hari.
Saya amat bangga dengan SRC.